Thursday, February 19, 2009

19 Februari muncul lagi...


Assalamualaikum...
Kesekian kalinya tarikh ini muncul lagi. Saban tahun ia datang dan bertambah lagilah usia saya.
Kematangan usia menjadikan saya bertambah wise dalam mengharungi hidup. Setiap hari bagi saya ialah sesuatu yang baru dan mencabar.
Sudah empat hari saya kembali semula ke Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) yang dahulunya dikenali sebagai Jemaah Nazir Sekolah (JNS).
BSSK saya tinggalkan dengan seribu kenangan setelah dua tahun memerah minda dan keringat bagi memastikan SS berjalan sebagaimana yang dirancang.
Walaupun sedikit terkilan dengan situasi dan personel yang mengambil alih, saya tetap merasa bangga kerana saya tahu dan ramai yang di luar sana juga tahu, bahawa saya telah melakukan yang terbaik untuk SS.
Bagi saya, jika ingin memajukan sesuatu entiti, seperti SS, content knowledge dalam bidang seni mesti difahami dan didalami.
Jika sekadar ingin memegang jawatan tetapi subject matter tidak didasari, maka akan terpesonglah misi serta visi sesuatu entiti itu.
Dalam menyambut ulangtahun kelahiran, saya berdoa moga saya diberkati dan dilindungi ALLAH sepanjang hayat.
Sebagaimana biasa ...
Dee akan...
bekerja dengan iklas dan tetap merendah diri..

* dapat lagi ke lilies tahun ini...hehehe...

Wednesday, February 18, 2009

Astaghafirullah...!

porch terhalang
Assalamualaikum...
Sesampai di hadapan rumah petang tadi saya terkejut besar.Hujan lebat sepetang tadi dengan angin ribut yang agak kencang telah menumbangkan sebatang pokok didepan rumah saya.
Tak sangka pokok yang selama ini merimbun dan meredupkan kawasan porch saya kini telah rebah melintang menghalang laluan.
Saya amat bersyukur kerana sewaktu pokok itu tumbang, saya dan kereta saya tiada di sekitar tempat itu. Kalau lah kereta saya di pakirkan di tempat biasanya, di bawah porch, besar kemungkinan ia akan dihempap pokok tumbang itu.
Kata orang 'Nasib baik ada saja.......'
Apabila Perbadanan Putrajaya (PP) dihubungi, pihak terlibat terus respons dengaan pantas dan cekap.

pokok sedang dipotong di hadapan porch rumah saya

Kerja-kerja mencuci dan membersihkan kawasan dijalankan oleh PP melalui syarikat kontrak.
Saya berterima kasih kepada pegawai-pegawai dari PP yang datang serta orang-orang yang terlibat dalam pembersihan pokok tersebut.
Moga ALLAH jua yang akan membalas budi anda semua.

Dee:
bersyukur kerana terhindar dari bencana dan sentiasa menerima hakikat bahawa ada hikmah disebalik setiap kejadian.

Monday, January 26, 2009

Jawatan dan tanggungjawab

Keikhlasan paling utama
Assalamualaikum...

Sudah 2 tahun saya bertugas di Jabatan Pendidikan Jasmani dan Sukan (JPJS) sebagai Penyelaras Sekolah Seni.

Kini JPJS dikenali sebagai Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum (BSSK) selepas penstrukturan semula KPM.

Saya yang dipinjamkan selama 2 tahun dari Jemaah Nazir Sekolah (JNS), kini dikenali sebagai Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK), telah berusaha sedaya upaya saya untuk memartabatkan Sekolah Seni (SS) di Johor Bharu dan Kuching.

Misi saya masih belum selesai dan memerlukan banyak komitmen dalam merealisasikan impian semua pihak agar SS mencapai matlamat serta visinya iaitu "Menjadi pusat kecemerlangan pendidikan kesenian dan kebudayaan bagi melahirkan insan budayawan bertaraf dunia".

Namun, dalam pada memperjuangkan misi dan visi SS, saya dipandang sebelah mata oleh beberapa pihak. Ini tidak perlu saya nyatakan di sini.

Yang penting saya percaya saya telah melakukan yang terbaik sejak penubuhan SS pada tahun 2006. Penglibatan saya secara menyeluruh serta komitmen saya yang tidak berbelah bagi, rupanya menimbulkan rasa kurang senang beberapa kerat manusia.

Content knowledge dan bidang pengkhususan saya dalam seni banyak membantu saya dalam melaksanakan tugas saya di sini. Ini dikutip sepanjang saya bertugas di sini dan di JNS dahulu. Saya amat bersyukur.

Pada rakan sejawat yang memahami dan sering membantu: TERIMA KASIH!
Pendekatan saya ialah merujuk pada yang arif dan berbincang dengan yang berkenaan terutamanya ketua atau pakar bidang (subject matter expert).

Malangnya, ada manusia yang angkuh dan cuba menjadi 'tukang kondem' walaupun baru bergelumang dengan seni dan kesenian yang bukan pun merupakan bidang khususnya.

Bagi saya yang penting ialah common sense yang digunakan dengan waras dan berhemah.
Selain dari keikhlasan dalam menjalankan tugas.

Mungkin semua ini akan saya temui di meja kerja saya yang baru.

Dee....
Sentiasa berpegang kepada prinsip:
Bekerja dengan IKHLAS and try to be THE BEST!.

Tuesday, December 9, 2008

Pengorbanan Ibu

Menanti lembu disembelih di Surau AlFalah Precint 9
Assalamualaikum...
Sebagaimana Muslimin yang lain, sambutan Hari Raya Aidiladha ( عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan salah satu perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.
Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.
Saya turut merasakan betapa perlunya menunaikan tanggungjawab untuk anak-anak. Lantaran itu, sempena Aidiladha tahun ini ibadat korban untuk ketiga-tiga anak saya (Kak Am, Ab dan Farrah) disempurnakan di Surau Al Falah, Precint 9.

Bahagian anak-anak saya akan disedekah dan dihadiahkan kepada mereka yang sepatutnya
Moga ibadat ini diterima oleh ALLAH s.w.t.
Dee:
Sentiasa reda dengan ketentuan Illahi. Moga ALLAH kurniakan rahmat, kesejahteraan, kebahagiaan dan kesejahteraan serta melindungi diri ini hari ini, esok dan selamanya.

Saturday, November 1, 2008

That's my baby

Di KLIA sebelum berlepas ke London pada 7 Oktober lalu
Assalamualaikum...
Kalau diikutkan rasa memang tak hendak berpisah. Mana mungkin seorang ibu mahu melepaskan anaknya pergi begitu sahaja. Demi ilmu, kejauhan serta kerinduan terpaksa ditanggung.
Kak Am harus pulang ke tempat pengajiannya untuk satu tempoh yang agak lama kali ini. Setelah bercuti hampir 3 bulan, dia akan meneruskan cita-citanya dalam jurusan Philosophy, Politics and Economics di Durham University.
Moga pemergiannya kali ini menambahkan ilmunya dan kembali berbakti pada agama, bangsa dan negara.
Dee:
Kak Am jangan lupakan Mama.
ALL THE BEST my SWEETHEART

Friday, October 31, 2008

Seni di Majlis Anugerah Sukan

Rashid dan Jailani Sidek mantan jagoan badminton negara
Assalamualaikum...

Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) telah menganjurkan Majlis Anugerah Sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia MSSM-MILO 2007 bagi mengiktiraf atlet dan warga Kementerian Pelajaran Malaysia sepanjang tahun 2007. Majlis ini telah berlangsung di Dewan De'Seri Endon, Puspanitapuri Presint 10, Putrajaya baru-baru ini.

Atlet renang negara, Daniel Bego memenangi Anugerah Emas pada majlis tersebut . Anugerah disampaikan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Encik Zulkifli Mohd Wazir, mewakili Timbalan Menteri Pelajaran Dr Wee Ka Siong. Daniel dipilih atas pencapaian cemerlangnya sepanjang tahun lepas. Antaranya termasuk kejayaan meraih anugerah Olympian of The Year 2007 kerana layak beraksi ke Sukan Olimpik 2008 selain merangkul dua emas, satu perak dan dua gangsa dengan dua rekod baru pada Sukan SEA ke-24 di Korat, Thailand.

Sebagai salah seorang pegawai di Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum (BSSK) yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Jasmani dan Sukan (JPJS) , KPM, saya turut merasa bangga kerana turut terlibat dalam menjayakan majlis ini bersama anak-anak didik dari Sekolah Seni Johor Bharu. Mereka turut menyumbangkan tenaga dengan paluan gamelan dan muzik iringan bagi memeriahkan majlis yang diadakan setahun sekali ini.

Sesungguhnya, SSM banyak terlibat dalam majlis dan program yang dianjurkan oleh KPM. Moga jasa dan bakti anak-anak seni ini akan dihargai oleh semua pihak sepanjang masa. Berilah pengiktirafan yang sewajarnya pada bakat dan kebolehan mereka.

Sebagai Penyelaras Sekolah Seni, saya amat terharu dengan komitmen guru/jurulatih seni serta murid-murid SSJB dalam memartabatkan seni tanah air.

Dee:
Teruja kerana SS sentiasa diberi tempat dalam majlis-majlis KPM. Penat jerih terubat dengan apresiasi dan penghargaan yang iklas dari semua.
Selamat maju jaya SS.

Sunday, September 28, 2008

Taklimat SS di Terengganu

Assalamualaikum,

Satu sesi penerangan dan taklimat mengenai kemasukan pelajar ke SS untuk pegawai-pegawai dari JPN negeri telah diadakan di BSSK pada pertengahan Julai.

Bagi membantu pihak JPNTerengganu(JPNT), saya telah dijemput untuk memberi taklimat mengenai SS kepada guru-guru Sekolah Rendah di negeri Terengganu.

Saya berasa sangat teruja kerana hasrat untuk menyampaikan maklumat seperti ini yang telah lama tersimpan akhirnya akan dapat dilaksanakan. Lagipun, saya sudah lama tidak ke Terengganu untuk menikmati keropok lekor asli di sana.


Majlis yang berlangsung dari jam 2.00 petang telah dihadiri oleh lebih kurang 250 orang GPK II dan HEM sekolah rendah dari seluruh negeri Terengganu.

Sebahagian peserta yang mula memenuhi dewan

Taklimat berjalan lancar walaupun sedikit panas akibat dari bahang cuaca bulan Ogos. Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) hampir padat dengan hadirin yang datang dari seluruh pelusuk negeri.

Sebagai Penyelaras SS, Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum (BSSK)KPM, saya amat terharu bila mendapati ramai yang berminat dan tekun mendengar taklimat yang disampaikan.

Tuan Hj. Habibuddin bin Rejab, panel SS serta penemuduga kemasukan ke SS juga turut dijemput memberikan taklimat khusus mengenai tatacara dan prosedur temuduga serta hal-hal yang berkaitan dengan proses tersebut.

Moga penjelasan mengenai SS akan membuka mata dan minda guru serta ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap kerjaya dalam bidang seni.

Guru-guru tekun mendengar taklimat

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan saya berpuas hati dengan komitmen dan perhatian yang diberikan oleh audiens.

Bagi pihak BSSK, kami berharap agar pengambilan bagi tahun 2009 akan berjalan dengan lancar.

Proses temuduga dijangka akan berlangsung mulai pertengahan bulan September mengikut beberapa zon.

Diharap pelajar SS Tingkatan Satu 2009 akan lebih berkualiti dalam usaha memartabatkan Seni Negara bagi mencapai misi SS iaitu Pewaris Budaya Bangsa.

Dee: Terima kasih JPNT moga ramai pelajar dari Terengganu akan terpilih memasuki SS di tahun-tahun akan datang.


Saturday, May 10, 2008

farrah aishah


Ibu dan anak sedondon
Assalamualaikum...
Dalam kesibukan menjalankan tugas seharian mengendalikan SS, saya terpaksa meluangkan sedikit masa memenuhi undangan sekolah anak saya, SMK Subang Utama. Anak bongsu saya, Farrah yang telah menamatkan persekolahan pada tahun 2007 berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPMnya. Saya amat bersyukur kehadrat ALLAH kerana Farrah memperolehi 10A...Tahniah anakku.
Satu majlis Anugerah Cemerlang untuk pelajar-pelajar terbaik SMKSU telah diadakan pada 3 Mei 2008 dan sayalah antara ibu yang paling gembira menyaksikan anak yang tersayang menerima sijilnya.
Inilah di antara hadiah pra HARI IBU yang bermakna buat saya.
"Moga anak-anak akan terus menghormati dan menyayangi Ma"

Bersama Pengetua dan teman pendidik di SMKSU
Dee...
berdoa agar Kak Am, Ab dan Farrah terus mengingati dan menyayangi Ma sebagaimana Ma mengingati awak semua.

SS dan Moderasi

Pembentangan penyelarasan moderasi mengikut bidang kesenian
Assalamualaikum...
Banyak perkara sebenarnya yang perlu diselesaikan berkenaan dengan SS ni. Antara yang utama ialah pentaksiran hasil kerja pelajar. Oleh itu, satu lagi sesi mesyuarat berkaitan dengan Etika Kerja Folio dan Moderasi Penilaian Mata Pelajaran Kesenian telah diadakan di Kuching pada 29 April hingga 2 Mei 2008. Antara mereka yang terlibat ialah pegawai-pegawai dari LPM, PPK, Bahagian Sekolah, panel jemputan SS serta jurulatih/guru SS Johor Baharu dan Kuching.
Matlamat utama mesyuarat ialah untuk memastikan:
1. Setiap murid SS mempunyai etika kerja yang betul dalam menghasilkan kerja seni mereka mengikut bidang masing-masing.
2. Mereka mematuhi dan memahami kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh LPM bagi meningkatkan prestasi cemerlang kreativiti mereka.
3. Instrumen yang dibina boleh digunapakai dan diterima oleh masyarakat dan global.
Pengendalian mesyuarat dan moderasi mendapat kerjasama yang baik dari pihak SS Kuching. Terima kasih kepada warga SS Kuching terutamanya Pengetua, Dr Sluhi b. Lamat@Narawi.
Saya selaku Penyelaras SS berpuas hati dengan komitmen pegawai-pegawai dari bahagian KPM, panel jemputan SS, guru/jurulatih yang hadir dalam mengendalikan penyelarasan pentaksiran/penilaian kerja murid tersebut. Namun agak terkilan kerana pegawai dari LPM tidak dapat hadir bagi memastikan perjalanan lebih efektif.
Ketetapan telah dibuat dan menetapkan bahawa penilaian hasil kerja folio dan portfolio murid akan dinilai dua kali setahun. Semua task yang diberikan kepada murid dibina berdasarkan Standard Performance Indicator (SPI) yang telah ditetapkan oleh LPM. Satu instrumen rekod dan penggredan mengikut band mestilah mematuhi kehendak LPM juga.
Semoga pentaksiran dan moderasi yang dibuat mencapai matlamat memartabatkan bidang seni di peringkat nasional dan global.
Terima kasih kepada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
Sesekali bersantai juga lepas penat bertugas
Dee...
dengar ada juga suara-suara sumbang yang ditujukan kepada SS. Moga suara itu lenyap bila SS mengorak langkah menepati matlamat. Saya juga berharap agar tiada yang ber CHOGM ( Come for Holiday On Government's Money) bila dijemput melibatkan diri dan menjalankan tugas. Terima kasih kepada semua yang membantu dan komited bagi memajukan SS. Marilah kita bersikap lebih profesional.

Monday, April 21, 2008

Dee dan Diri

Assalamualaikum...
Mungkin bagi mereka yang biasa dengan penampilan saya selama ini akan merasa sedikit sentakan bila melihat saya kini.
Ini bukan kejutan buatan atau penampilan sementara kerana mengikut peredaran masa. Ini adalah penampilan yang datang dari dalam, dari hati yang tulus ikhlas.
Keinginan yang selama ini terpendam terzahir melalui pembacaan, pemerhatian, perbincangan dan keinsafan diri.
Alhamdulillah, saya berharap agar diterima oleh semua dengan hati terbuka.

Dee...
Berdoa agar terus mendapat hidayat hingga akhir hayat...

Thursday, March 27, 2008

Sekolah Seni, Kreativiti dan Diri

Mempengerusikan mesyuarat di sesi kedua
Assalamualaikum...
Setelah bertungkus lumus memerah otak memikirkan komponen tambahan dalam kurikulum SS, saya dapati elemen kreativiti amat perlu dan penting.
Setelah kerangka asas saya bina dan bincangkan dengan TKP, kami bersetuju menjadikan ia sebagai satu landasan untuk diperincikan.
Mesyuarat Pembinaan Kerangka Komponen Kurikulum SS (1/2008) diadakan dan sesi 'brainstorming' menyaksikan pelbagai keputusan dan persetujuan dicapai.
Mesyuarat yang diadakan pada 26 Mac, 2008 di JPJS telah dipengerusikan oleh TKP, Encik Abdul Ghafar bin Mahmod dan disertai oleh beberapa orang panel.
Antaranya ialah: Pn. Norma (EPRD), Pn. Lim (BPG), Pn. Liza (PPK), Pn. Rohana (SSJB), Pn. Juncy (SSK), Cik Girlie, Pn. Umi, En. Reduan dan Tn Hj. Habibuddin mewakili empat bidang kesenian iaitu Seni Tari, Seni Teater, Seni Muzik dan Seni Visual.
Antara ahli panel yang hadir
Objektif utama mesyuarat ialah untuk:
1. Menetapkan Standard Etika bagi komponen kurikulum SS untuk memartabatkan SS KPM.
2. Memastikan Komponen Kurikulum SS diterimapakai pada peringkat global.
Majlis bersetuju memasukkan komponen KREATIVITI bagi memantapkan kurikulum kesenian dan memastikan tercapainya polisi 60% pembelajaran kesenian dan 40% akademik.
Pelaksanaannya ada menyeluruh di SS dengan mengambil kira beberapa faktor kekangan seperti masa, jadual waktu, kemampuan guru/murid, beban tugas guru/murid dan lain-lain faktor sampingan.
Mesyuarat JK kali ke dua akan diadakan dalam masa terdekat bagi memastikan pengisian kerangka ini lebih jelas, mantap dan berkesan.
Dee berharap...
semua yang terlibat akan turut memberi komitmen yang tinggi dalam merealisasikan kurikulum SS bagi mencapai misinya.
Terima kasih kepada panel yang terlibat.
*perubahan penampilan diri adalah juga kesan kreativiti.
ALHAMDULILLAH.

Tuesday, February 19, 2008

Dee dan SS

Assalamualaikum...
Dalam keghairahan menjalankan tugas yang bertimbun, hari ini, 19 Februari 2008, saya sudah melangkah ke usia baru.
Mengimbau kembali hari-hari sebelum ini, saya menyedari bahawa banyak lagi yang boleh dan akan saya lakukan untuk memartabatkan SS dari sudut profesion saya.
Sesungguhnya, hari-hari mendatang dalam usia yang semakin matang ini, akan saya giatkan usaha untuk mencapai hasrat murni KPM untuk memartabatkan seni negara.
Rasa bangga dan teruja tetap ada kerana turut terlibat secara langsung membangunkan SS sejak lebih setahun yang lalu.
Doakan agar hasrat saya dan kita tercapai.
Moga ALLAH berkati usaha kita bersama.
Kad ucapan dan plak Hari Lahir dari TKP
Dee:...
...berbangga kerana ada seorang insan di dunia ini yang amat menyayangi dan memahami diri ini. Rasa gembira dan bahagia menyelinap keseluruh jiwa. Pertama kali dalam hayat, diri ini dihargai dan dicintai. Segalanya dari ALLAH jua...Alhamdulillah.
Sesungguhnya usia mematangkan kita.
19 Februari 2008..
I love u more than i love myself....

Friday, February 15, 2008

SS dan LPM: Penilaian dan Pentaksiran

Bersama panel Seni Visual SS, Hj Habibuddin dan Salehuddin dari LPM
Assalamualaikum...
Buat masa ini persiapan sedang hebat dibuat untuk mempastikan segala kelengkapan, alatan dan infrastruktur bagi SS lengkap dan berfungsi.
Minggu lepas beberapa buah kamera video telah diedarkan ke kedua-dua SS.
Moga dengan adanya alat-alat itu akan memudahkan proses membuat dokumentasi yang boleh dijadikan eviden dalam penilaian dan pentaksiran hasil kerja murid sepanjang tahun.
Penilaian berasaskan sekolah (PBS) ini meliputi ke empat-empat bidang yang diajar di SS, iaitu Seni Visual, Seni Muzik, Seni Tari dan Seni Teater.

Wakil PPK, Bakhtiar dan Reduan, SSKuching

LPM bersetuju dasar etika dan instrumen yang dibina mestilah berpandukan kepada Standard Performance Indicator ( SPI) iaitu format pentaksiran yang telah ditetapkan oleh LPM.
Semua ini dipersetujui oleh Urusetia SS, JPJS yang telah mengadakan Mesyuarat Etika Kerja Folio Murid Sekolah Seni Bersama LPM pada 4-6Februari 2008.

Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah wakil PPK serta beberapa ahli panel yang dilantik oleh urusetia SS.

Abang Abdillah, SSKuching dan Umi Salbiah panel Teater

Walau bagaimanapun, endorsement atau pengesahan mengenai penggunaan SPI serta lain-lain yang berkaitan dengan penilaian dan pentaksiran tertakluk kepada LPM.

SS hanya menantikan green light dari LPM untuk melaksanakan format terbaru penilaian dan pentaksiran kerana hanya LPM yang boleh mengesahkannya.
Dee..
berharap proses penilaian dan pentaksiran dapat dijalankan dengan sempurna berdasarkan SPI yang ditetapkan oleh LPM. Moga pelajar SS mencapai Band tertingi dalam bidang masing-masing sebelum meninggalkan SS nanti.

JNS dan SS

Memberi input profesional

Assalamualaikum...

Teruja bila dijemput untuk menyampaikan input professional kepada teman-teman lama yang masih bertugas di Jemaah Nazir Sekolah (JNS).
Walaupun sudah setahun dipinjamkan ke JPJS, kenangan bersama JNS tetap utuh. Masih ingat lagi mereka kepada saya.
Undangan ke Mesyuarat Peningkatan Profesionalisme Jemaah Nazir Sekolah di Swiss Garden Kuantan pada 28 Januari 2008 lalu memberi peluang kepada saya menerangkan secara menyeluruh mengenai Sekolah Seni.
Ini akan memudahkan pihak JNS membuat pemantauan, pemeriksaan, penyeliaan dan penilaian P&P mata pelajaran kesenian di SS nanti.

Bersama rakan-rakan JNS

Kenalan lama, Cik Zariani bt Ghazali
Jemaah Nazir Sekolah Negeri Sembilan

Dee berharap...

Kerjasama antara JNS dan SS akan membantu meningkat dan memartabatkan SS di mata masyarakat.

Wednesday, February 13, 2008

Sesi 2008 Sekolah Seni dah bermula

Memberi taklimat mengenai SS di sebuah sekolah di Bandar Muadzam
Assalamualaikum...
Sekali lagi maaf dipinta kerana agak lama tidak memasukkan entry yang terbaru mengenai SS. Kesuntukkan masa dan kesibukkan urusan jabatan menghalang saya dari mengemaskini blog ini.
Ada berita yang menarik yang dilaporkan dalam akhbar Berita Harian, Rabu, 13 Februari 2008
mengenai SS.
Sila baca...
75 pelajar Tingkatan Satu daftar di Sekolah Seni Johor Bahru

SEKOLAH Seni Johor Bahru (SSeJB), antara dua sekolah seni pertama seumpamanya di Malaysia selain Kuching, baru-baru ini menerima kemasukan seramai 75 pelajar baru Tingkatan Satu. Seawal jam 9 pagi, dewan sekolah sekolah itu dibanjiri pelajar baru serta ibu bapa yang hadir dari seluruh negara untuk mendaftar kecuali Sabah dan Sarawak. Ibu bapa dan pelajar baru dihiburkan dengan pelbagai persembahan seni dan demonstrasi seni visual pelajar Tingkatan Dua bagi memastikan mereka yang hadir tidak berasa bosan.
Persembahan pelajar senior itu secara tidak langsung memberi sedikit gambaran kepada ibu bapa dan pelajar baru bidang seni yang bakal mereka pelajari di sekolah itu. Pengetua SSeJB, Ishak Mahbob, berkata kriteria pemilihan pelajar mengambil kira kemahiran bakat seni mereka ketika sesi uji bakat oleh jawatankuasa Panel Uji Bakat yang dianggotai beberapa guru berkelayakan dan pegawai kementerian. Katanya, syarat kemasukan pelajar perlu lulus semua mata pelajaran dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan kelulusan minimum sekurang-kurangnya 3B tanpa gagal subjek.
"Mereka kemudian dinilai mengikut dua komponen utama iaitu dari segi pengetahuan am, dalam bidang kesenian dan pengkhususan, iaitu potensi kemahiran menonjol mereka dalam memainkan peralatan muzik atau pembawaan watak dalam lakonan serta nyanyian. "Ketika uji bakat, calon yang gagal menyerlah diberi markah di bawah 80 peratus," katanya. Sehubungan itu, katanya, daripada 504 calon yang memohon ke SSeJB, hanya 75 pelajar dipilih. Di sekolah itu, pelajar didedahkan Kurikulum Pendidikan Kesenian merangkumi empat bidang iaitu Seni Visual, Muzik, Tarian dan Teater yang menekankan pendidikan asas dari segi persepsi estetik, aplikasi seni, ekspresi kreatif dan seni dalam kehidupan.
Pelajar Tingkatan Satu, Adam Amirullah Azmy,13, dari Bandar Muadzam Shah, Pahang, berkata beliau mendapat tahu mengenai sekolah itu apabila dikunjungi wakil kementerian dan kakitangan sekolah seni berkenaan bagi menjalankan uji bakat seni, termasuk berlakon.
Bersama panel Uji Bakat memberi taklimat
Dee ucapkan:
Tahniah kepada pelajar-pelajar yang berjaya ke SS JB dan SS Kuching serta berharap agar peluang yang diberi tidak dipersiakan dalam mengembangkan bakat dalam bidang masing-masing.
Terima kasih kepada semua panel penemuduga yang telah berjaya memilih yang terbaik untuk ke SS.

Tuesday, December 11, 2007

SS lahir insan berbakat

Assalamualaikum...
Teruja saya apabila membaca satu artikel yang menarik tentang keterlibatan dan kejayaan pelajar-pelajar sulung SS. Walaupun baru setahun jagung, namun mereka berupaya menunjuk dan menonjolkan bakat yang istimewa yang ada pada diri mereka.
Semoga ini akan mendorong yang lain untuk terus berkarya dalam bidang kesenian yang meraka ceburi samada Seni Visual, Seni Tari, Seni Teater atau Seni Muzik.
ANTARA babak latihan teater 'Jangan Duduk Di Kerusi Itu'.
JOHOR BAHRU: Sekolah Seni Johor Bahru, antara dua sekolah seni pertama seumpamanya di Malaysia selain Sarawak, dan baru-baru ini tampil memperlihatkan bakat kesenian 73 pelajarnya apabila mempersembahkan pertunjukan seni teater menarik dan 'choral speaking' yang menjadi kurikulum pendidikan seni sekolah itu di sini.
Menerusi gerak tari disertai lakonan dan bertutur dalam bahasa Inggeris, teater mereka berjaya menusuk jiwa penonton yang terdiri daripada ibu bapa pelajar sendiri, yang hadir ke sekolah di penempatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khalid, semata-mata untuk menonton persembahan anak mereka.
Kemunculan pelajarnya lengkap berpakaian kostum merah dihias 'sequin' dan sarung panjang hitam memainkan peranan masing-masing memukau penonton sehingga menerima tepukan gemuruh di setiap babak.
Menariknya, di sebalik tabir, setiap langkah dan kelancaran teater itu, ia diarah dan dipimpin pengarah teater yang terdiri daripada kalangan pelajar itu sendiri iaitu Nur Amalina Abdul Halim, 13, yang berasal dari Kuala Lumpur.
"Bukan mudah mencapai kejayaan ini, namun, kami berjaya melakukan yang terbaik dan kami amat berpuas hati," kata Nur Amalina.
Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama memuaskan gabungan keseluruhan rakannya di kelas Zamrud Satu, antaranya terdiri daripada pelakon dan kru yang mengawal muzik latar, pencahayaan serta keadaan pentas, penghasilan kostum, dan lakonan.
Amalina berkata, mereka hanya diberi masa enam minggu untuk melakukan persiapan bagi keseluruhan persembahan teater berkenaan termasuk pemilihan lagu sendiri, latihan dialog,dan pemilihan pelakon.
Menggunakan pengalamannya sebagai ahli teater muzikal dikenali Tok Rimau, di Teater Sanggar Fauziah Nawi (Stefani) Kuala Lumpur, Nur Amalina menyahut cabaran mengetuai rakannya menjayakan lakonan teater itu.
Sambil dibantu skrip dan bimbingan guru drama dan teater, Siti Jauhara Jamian, seluruh pelajar sekolah seni terbabit mempelajari setiap ketelitian langkah perlu, bermula daripada penyediaan latar dengan melukis di kadbod, kostum, koreografi, dan perhiasan diri.
Nur Amalina berkata, beliau langsung tidak kekok mengarah rakannya walaupun kadang-kala ada saja masalah yang timbul.
"Cabarannya ialah barada di sisi rakan dan memberi motivasi apabila mereka memerlukannya kerana ada masanya, mereka letih dan tidak yakin untuk berlakon atau membantu dari segi teknikal bagi teater ini," katanya.
Pada masa sama, kelas Nilam Satu turut mempersembahkan pertunjukan 'choral speaking' bertajuk 'Exam Fever' menyelitkan pelbagai nilai dan budaya termasuk gerak tarian zapin, liuk-lentok sepohon pokok ditiup angin serta gerakan memukau seekor ular.
Sementara itu, Siti Jauhara berkata, beliau gembira kerana pelajar sekolah itu bukan saja berkebolehan tetapi juga rajin dan komited dalam menjalankan persembahan itu pada masa yang ditetapkan.
"Ini kerana drama yang dipersembahkan menjadi faktor penilaian terhadap setiap pelajar dalam kurikulum pendidikan kesenian itu," katanya.
Sekolah Seni Johor Bahru adalah sekolah projek perintis Kementerian Pelajaran yang diwujudkan selaras usaha mengembangkan bakat kesenian di kalangan pelajar.
Di sekolah ini, pelajar didedahkan Kurikulum Pendidikan Kesenian merangkumi empat bidang iaitu Seni Visual, Muzik, Tarian dan Teater yang menekankan pendidikan asas dari segi persepsi estetik, aplikasi seni, ekspresi kreatif dan seni dalam kehidupan.
Pelajar sekolah terbabit menjalani pengajian mereka seperti sekolah lain bermula jam 7.30 pagi hingga 1 tengahari sebelum mengikuti kurikulum pendidikan kesenian dari jam 2.30 hingga 4.30 petang.

Oleh: Azida Shaharuddin
BM Ahad 9 Disember 2007

Dee bangga...
anak didik sulung SS telah berjaya membuktikan keistimewaan dan bakat mereka.
Terima kasih dan syabas kepada semua tenaga pendidik dan pelajar SS JB dan SS Kuching.
Kejayaan anda adalah kebanggaan 'Umi'=Mummy=Bonda...

Tuesday, December 4, 2007

Kajian Minat Kesenian Murid dan Guru SS

Bersama TKP PM En. Abd Ghafar bin Mahmod
yang mempengerusikan mesyuarat
Assalamualaikum...
Dah hampir 2 bulan lebih saya tidak memasukkan entri baru kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja. Dengan hanya dua orang pegawai yang mengendalikan SS, saya agak kesuntukan masa dan ruang dalam mengemaskinikan blog ini. Namun, saya akan cuba sedaya upaya memastikan input mengenai SS sentiasa segar dan terkini.
Tanggal 19-23 November 2007, satu Mesyuarat Penulisan Laporan Terhadap Minat Kerja Bidang Kesenian Pada Murid dan Guru SS JB dan Kuching telah diadakan di Bilik Mesyuarat JPJS, Putrajaya.
Ini merupakan lanjutan dari kajian/soal selidik serta temuduga tenaga pengajar dan murid SS di Kuching dan JB pada 21 - 25 Oktober 2007.
Murid SSKuching yang terlibat dengan soal selidik dan temuduga
Seramai empat orang pegawai yang dilantik khas oleh Urusetia SS yang diketuai oleh Tn Hj. Habibuddin bin Rejab (Seni Visual),En. Rafaie Ismail (Seni Teater), Pn. Ridzlina Riduan (Seni Muzik) dan Cik Thoh Hui Chin @ girlie (Seni Tari) telah melaksanakan tugasan yang telah diberikan dengan jayanya.
Mereka juga turut terlibat dalam Mesyuarat Pembinaan Instrumen Terhadap Beban Kerja Bidang Kesenian Murid-Murid SS yang dianjurkan oleh Urusetia SS, JPJS, KPM telah diadakan di Putrajaya pada 9-11 Oktober lalu.

Berbincang mengenai laporan

Selaku Penyelaras SS, saya bertanggungjawab memastikan perjalanan serta pengurusan mesyuarat, kajian/soal selidik dan penulisan laporan lancar dan sempurna.
Hasil laporan pemantauan ini akan dibentangkan kepada YB Dato Sri Hishamuddin b. Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia.
Saya yakin dan berharap agar laporan kajian ini dapat membantu meningkatkan bidang kesenian dalam pendidikan di SS.
Antara persoalan yang ditimbulkan dalam kajian ini ialah:
1.Apakah persepsi pelajar terhadap:
a) mata pelajaran kesenian
b) mata pelajaran akademik.
2. Sejauh manakah aktiviti kurikulum meningkatkan minat pelajar dalam bidang seni?
3. Apakah persepsi pelajar terhadap aktiviti kokurikulum?
4. Apakah persepsi pelajar terhadap skop skop dalam Pelaksanaan Kurikulum Sekolah Seni seperti :
a) kreativiti
b) sesi apresiasi
c) sesi persembahan
d) lingkages / rangkaian
5. Apakah persepsi guru akademik dan kesenian terhadap Pelaksanaan Kurikulum Kesenian ?
6. Apakah masalah-masalah P&P dalam bidang kesenian ?
7. Apakah cadangan-cadangan penambahbaikan P&P tersebut ?
Diharap pihak kami dapat merungkai persoalan ini bagi memastikan Kurikulum Kesenian menepati kehendak dasar dan memenuhi keperluan murid. Manakala guru pula dapat melaksanakan P&P dengan lebih efektif dan efisyen.

Bersama anak didik di SSJB

Akhirnya, dapat mencapai matlamat untuk menghasilkan modal insan yang berupaya memperkasakan budaya dan mengukuhkan identiti bangsa Malaysia.
Dee ucapkan:
Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu dan menjayakan tugasan yang diamanahkan. Moga ALLAH jua yang akan membalas budi jasa tuan/puan.
Majulah Seni Untuk Negara.

Wednesday, September 19, 2007

SS dan MOU bersama SS Indonesia

Bersama pelajar kesenian SS Indonesia
Assalamualaikum....
Saya berpeluang menyertai satu delegasi lawatan kerja ke Republik Indonesia yang diketuai oleh Y.B. Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Noh bin Omar. Ia juga disertai oleh beberapa orang pegawai kanan KPM serta wakil dari Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Lawatan kerja bermula dari 9 hingga 13 September 2007 ini adalah bertujuan untuk meninjau dan mempelajari kemajuan pembangunan pendidikan kesenian di Indonesia.
Beberapa institusi kesenian telah dilawati iaitu Sekolah Tinggi Seni Padang Panjang Sumatra Barat, Sekolah Tinggi Seni Indonesia Bandung dan Institut Kesenian Jakarta.

Delegasi Malaysia bersama wakil SS Indonesia

Tujuan utama lawatan ke institusi berkenaan ialah untuk menjadikan sebagai penandaaras (bench mark) bagi mendapatkan ciri-ciri Sekolah Seni Malaysia yang cemerlang dari segi akademik, pembangunan modal insan, berketrampilan dalam bidang kesenian, dan mengamal budaya yang bersahsiah tinggi.
Di samping itu, delegasi juga berjaya menjalinkan hubungan kerjasama walaupun setakat ini belum lagi memetrai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan institusi-institusi tersebut.
Ini adalah salah satu permulaan usaha untuk memaju dan membudayakan kesenian serta berkongsi pengalaman dan mencari peluang kerjasama dalam beberapa aspek, antaranya ialah;
(i) meneliti pelaksanaan program mengenalpasti bakat, sistem latihan, program dan kebajikan pelajar dalam bidang kesenian;
(ii) mencari peluang kerjasama dua hala ”attachment” pelajar dan jurulatih;
(iii) mengkaji pengambilan jurulatih (seni) dari Republik Indonesia untuk berkhidmat di Sekolah Seni Malaysia; dan
(iv) mengkaji kurikulum untuk meningkatkan pembangunan kesenian negara.

Lawatan ini telah memberi banyak manafaat. Ia merupakan pelaburan bijak KPM disamping berkongsi pengalaman kesenian bersama Republik Indonesia secara lebih konkrit bagi faedah masa depan Sistem Pendidikan Negara.
Kerjasama dan persefahaman ini membolehkan KPM mempelajari dan mempertingkatkan lagi pengetahuan dan teknologi baru dalam bidang pendidikan kesenian.

Persembahan oleh pelajar SS Indonesia

Pendekatan, cara dan kaedah yang bersesuaian boleh digunakan oleh Sekolah Seni Malaysia bagi mempertahankan seni warisan bangsa, memupuk semangat patriotisme dan jatidiri serta membangunkan modal insan dalam mengharungi arus globalisasi yang mencabar.

Menyelamatkan diri dari gegaran gempa bumi di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Padang

Dee...rasa bersyukur kerana terlibat dalam proses merealisasikan impian KPM dan negara bagi memajukan kesenian bangsa. Lebih bersyukur kerana terselamat dari bencana gempa bumi yang dialami selama lima kali semasa berada di tanah seberang.

Thursday, September 13, 2007

Item Ujibakat Pelajar SSM

Memberi taklimat mengenai item ujibakat pelajar SS 2008 di Naza Hotel, JB


Assalamualaikum...


Lama juga tak masukkan entry terbaru sebab terlalu sibuk dengan persiapan program lawatan ke SS di Indonesia untuk majlis MOU. Lawatan wakil KPM serta pegawai-pegawai yang terlibat ialah pada 9 - 13 September 2007. Itu akan diceritakan kemudian.
Sebelum itu, satu MESYUARAT PENYELARASAN PENGAMBILAN PELAJAR DAN PEMURNIAN ITEM UJI BAKAT PELAJAR BAGI TAHUN 2008 telah di adakan dia NAZA HOTEL, Johor Bahru pada 26 -28 Ogos 2007.
Mesyuarat ini adalah anjuran JPJS, KPM yang objektif utamanya ialah untuk pemurnian item supaya:
  • Dapat menentukan satu standard pencapaian pengambilan murid-murid ke Sekolah Seni

  • Menetapkan satu standard instrumen/item yang relevan, efektif dan berkualiti mengikut bidang kesenian

  • Dapat menyelaraskan kaedah melaksanakan uji bakat murid

  • Dapat menentukan tahap penguasaan murid dalam satu-satu bidang kesenian

  • Dapat mempertingkatkan pengetahuan murid tentang Kesenian Budaya Malaysia dan budaya serantau

  • Dapat menanamkan semangat sayangkan Budaya Malaysia dan menjadi pewaris budaya bangsa.

Selain dari itu satu post mortem ujibakat tahun 2007 juga telah dibincangkan. Antara isu-isu yang diketengahkan ialah:
1. Panel memerlukan bilik khas untuk sesi temuduga dan seorang penyelia yang mengendalikan ujibakat murid
2. Memastikan pihak JPN / sekolah menyediakan alat muzik/instrumen bagi ujibakat bidang muzik dan membantu menyediakan peralatan untuk melukis
Mesyuarat juga telah mencadangkan agar pihak sekolah memberi khidmat nasihat / grooming kepada murid-murid yang akan menduduki ujibakat/ temuduga supaya calon benar-benar bersedia menghadapi sesi ujibakat/temuduga tersebut. Selain dari itu, JPJS akan memberi surat lantikan untuk penemuduga di samping memberi taklimat yang berkaitan dengan sesi temuduga / ujibakat.

Antara panel penemuduga dan pegawai dari JPN negeri yang hadir

Panel penemuduga telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan bidang kesenian untuk satu aktiviti gerak kerja kumpulan. Pembahagian ini adalah berdasarkan kepada:
4 BIDANG KESENIAN
1. Bidang Seni Visual
2. Bidang Seni Teater
3. Bidang Seni Muzik
4. Bidang Seni Tari

Panel-panel telah diarah menjalankan tugasan dan berbincang serta membuat penambahbaikan pada setiap item ujibakat/ temuduga bidang kesenian tahun 2007. Selesai merangka item, panel telah membuat persembahan item mengikut bidang kesenian masing-masing. Beberapa item telah dibaiki menerusi sesi perbincangan dengan input baru.
Item yang telah siap digunapakai sebagai percubaan untuk Moderasi/Testing Item. Beberapa
orang murid tahun 5 SK Taman Uda 2, JB dan Murid Sekolah Seni Johor Bahru telah dijemput untuk menjalani sesi ujibakat/temuduga. Mereka ini dijadikan sebagai sampling bagi menguji keberkesanan item yang digubal. Penilaian / ujibakat / temuduga adalah berpandukan item yang digubal dan markah/ranking.
Panel juga diingatkan supaya mengadakan perbincangan untuk memastikan keselarasan markah yang diberi kepada calon. Ini adalah untuk memastikan tiada unsur-unsur berat sebelah atau ketidakadilan. Di akhir sesi, item-item dari semua bidang kesenian yang telah siap akan dibentangkan kepada TKPP untuk mendapat persetujuan.

Memberi penerangan dan memastikan perjalanan sesi perbengkelan berjalan lancar.
Setelah tiga hari bermesyuarat, panel telah berjaya menggubal satu instrumen ujibakat dan temuduga yang mantap dan sesuai digunakan. Sesi ujibakat dan temuduga yang akan diadakan pada akhir September menjadi penentu keberkesanan item-item yang telah digubal.


Selamat bertemuduga.....

Dee rasa:
apa yang diputuskan dalam mesyuarat dan yang dibentangan akan menjadi petunjuk yang jelas bila digunapakai semasa sesi temuduga nanti. Moga calon pelajar SS yang diujibakat, ditemuduga dan ditawarkan ke SS adalah yang terbaik dikalangan mereka.
Maju Seni untuk Bangsa.

Friday, August 24, 2007

Lawatan SSM ke SSI

Bersama pegawai KPM, tenaga pengajar dan pelajar SS Indonesia
Assalamualaikum...
Lawatan ke Sekolah Seni di Indonesia akan diadakan lagi pada bulan September 2007. Misinya adalah untuk memantapkan lagi kerjasama Malaysia-Indonesia dari segi kurikulum dan dasarnya. Ini merupakan lanjutan dari apa yang telah digagaskan pada lawatan sebelumnya iaitu pada 15 hingga 19 Nov 2006. Delegasi Malaysia telah diketuai oleh
Y.BHG.TAN SRI DR. ZULKURNAIN BIN HAJI AWANG, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia dan pegawai-pegawai dari beberapa bahagian KPM.
Delegasi KPM yang diketuai oleh Yg. Bhg. Tan Sri KSU
Objektif utama lawatan ialah untuk mengenal pasti amalan terbaik dari segi pengurusan dan aktiviti kesenian yang boleh dibuat perbandingan dan panduan untuk meningkatkan tahap profesionalisme di kalangan pegawai KPM secara langsung. Selain dari itu, pihak pengurusan & pembangunan sekolah seni cuba mengenalpasti secara lebih dekat keberkesanan pengurusan dan aktiviti kesenian yang boleh dicontohi disamping membuat perancangan dan penyelidikan untuk Sekolah Seni KPM.
Antara tempat-tempat yang dilawati ialah:
Sek Menengah Kejuruan ( SMK) Kesenian Surkarto, Solo Indonesia
Sek Men Tinggi Surakarta Solo
SMK Kesenian Yogjakarta
Yayasan Padepokan Seni, Bantul Yogjakarta
SMK Bandung Indonesia

Keseluruhannya, banyak pengajaran yang diperolehi dari lawatan tersebut antaranya:
Kurikulum – kesenimbungan aktiviti kurikulum di semua peringkat amat jelas kerana ianya berdasarkan kurikulum nasional yang amat menitikberatkan ideologi nasional. Semua mata pelajaran yang diajar merupakan perancangan yang sudah mantap berfokuskan kepada kesenian tempatan.
Penilaian School Based Assessment- melalui pemerhatian semasa latihan & persembahan
Tenaga pengajar – mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang masing-masing.
Fizikal & infrastruktur – ketinggian, kelebaran bangunan diambilkira bagi memudahkan pemindahan barang/instrumen kesenian, ciri-ciri bangunan mengikut budaya dan seni bina tradisional.
Kesimpulannya:
Pembangunan dan perancangan Sekolah Seni Malaysia
, diharapkan :
tidak tertumpu kepada kesenian semata-mata tetapi kearah melahirkan insan yang seimbang dalam semua aspek selaras dengan FPK
Kurikulum SSeni Msia – sehaluan dan sekata perlaksanaannya dan dapat melahirkan insan seni bertaraf dunia yang mempunyai daya saing yang tinggi.
Penilaian SSeni Msia - Sistem Berasaskan Sekolah - 70% amali dan 30% teori serta penilaian KBSM adalah seperti biasa.
Tenaga pengajar SSeni Msia – perlu ditapis untuk memastikan mereka komited, berpengetahuan luas dan bersemangat untuk melahirkan insan seni.
Bangunan SSeni Msia- menepati senibina tradisional Malaysia dengan keperluan landskap yang bersesuaian.
Dee berharap...
segala apa yang dihasratkan menepati kehendak sebenar dasar SS. Paling penting, semua yang terlibat dalam pengendalian SS komited dan profesional. Saya terkilan kerana ada pihak/insan yang sanggup menabur fitnah dan memperlekehkan komitmen saya, tapi saya amat sedar saya IKLAS dan ALLAH jua yang MAHA MENGETAHUI. Saya pulangkan kepadaNYA.